Monday, August 8, 2011

Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa

Hadith:

DARIPADA Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Huraian Hadith:

1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Maghrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan terawih pula selepasnya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Baca selanjutnya...

Friday, August 5, 2011

Banyak negeri kekal kadar zakat fitrah




KUALA LUMPUR - Dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak menaikkan kadar zakat fitrah negeri masing-masing pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Kadar zakat di Sarawak pada kadar RM6.20 berbanding sebelumnya iaitu RM5.20 dengan perbezaan sebanyak RM1. Ia diikuti oleh Sabah yang naik 0.20 sen kepada harga baharu iaitu RM7.

Bagaimanapun, Melaka dan Kelantan masih mengekalkan pada kadar RM6.50 dan RM7 seperti tahun lepas.

Bagi Johor, pada tahun ini mengekalkan dua kadar berasingan berdasarkan jenis beras dan kemampuan pembayar iaitu RM5 dan RM7.50 seperti tahun lalu.

Tetapi bagi Terengganu, negeri itu masih mengekalkan tiga kadar zakat fitrah seperti tahun lepas mengikut jenis beras dan kemampuan pembayar iaitu RM5, RM7 dan RM8.

Bagi Kedah, Perak, Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) pula, masing-masing mengekalkan kadar lama iaitu RM7.

Kadar zakat fitrah di Perlis dan Negeri Sembilan kekal dengan kadar RM6 dan RM6.50.

Bagi umat Islam di ibu kota, mereka boleh membayar zakat fitrah di Pejabat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan yang dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini dari jam 8.15 pagi sehingga 4.30 petang.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian zakat 1-300-88-5757 atau layari www.zakat.com.my atau www.facebook.com/zakat.my.

Menerusi laman web yang sama, pengguna juga boleh membayar pelbagai jenis zakat lain secara online dan laman sesawang itu turut dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan aktiviti terkini mengenai pusat zakat dan kemudahan yang disediakan sepanjang bulan Ramadan.

Baca selanjutnya...

Thursday, August 4, 2011

Bila dan siapa layak peroleh Lailatulqadar

Oleh DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

ALLAH SWT berjanji akan meningkatkan gandaan pahala kepada setiap orang Islam yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadat sepanjang kehidupan. Setiap hari adalah hari beribadat malah bekerja juga termasuk dalam kategori ibadat. Dengan bekerja, seseorang itu dapat memperoleh rezeki yang halal bagi menyara kehidupan dan tanggungannya.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, Allah SWT memberikan peringatan bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang paling banyak gandaan pahalanya. Antara celahan bulan Ramadan, terdapat satu malam yang amat besar ertinya kepada orang Islam kerana pada malam tersebut dijadikan penuh keberkatan dan kebaikan.

Malam tersebut dikenali sebagai Lailatuqadar. Lailatulqadar adalah malam yang amat agung kerana dipilih Allah sebagai malam permulaan Nuzul Quran atau permulaan Allah melimpahkan cahaya agama Allah ke seluruh alam, di samping melimpahkan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar dari hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.

Gambaran keberkatan pada malam itu ialah dalam nilaian ia lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan, ertinya ialah selama 83 tahun dan 4 bulan. Maknanya, sesiapa yang dapat menikmati malam tersebut akan memperolehi ganjaran pahala dalam gandaan seribu bulan.

Beruntunglah bagi mereka yang dapat mengerjakan ibadat sepanjang malam tersebut. Kelebihan dan kemuliaan malam tersebut disebut oleh Allah SWT dalam satu surah khusus, iaitu Surah al-Qadr.

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadr. Adakah kamu tahu (wahai Muhammad) apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan." (al-Qadr:1-3).

Bilakah malam Lailatulqadar itu? Rasullullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia hilang semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT." (Riwayat Ibnu Majah).

Mengenai tarikh sebenar malam tersebut, para ulama tidak mempunyai kesepakatan. Bagaimanapun kesemua ulama bersetuju bahawa Lailatulqadar hanya berlaku pada bulan Ramadan, terutamanya pada sepuluh malam terakhir.

Manusia perlu mencari hikmah di sebalik misteri tarikh tepat malam tersebut. Allah SWT sengaja menyembunyikan rahsia pada malam tersebut dengan harapan manusia tidak akan menyempadankan diri hanya untuk beribadat secara terhad pada malam itu sahaja.

Allah SWT sengaja melakukannya kerana mengharapkan setiap umat Islam dapat melakukan persediaan yang lebih baik, sehinggalah boleh menikmatinya dengan kesungguhan dan penuh keimanan.

Dalam satu hadis, Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: (Riwayat Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad).

Kenapa Lailatulqadar itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW? Menurut Imam Malik, Rasullullah SAW tersentak apabila memikirkan umur umatnya tidaklah sepanjang umat-umat sebelumnya. Menyedari mengenai keadaan tersebut, Nabi Muhammad SAW memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW memohon agar diberikan peluang beribadat sepanjang yang mungkin sebagaimana peluang itu telah diberikan kepada umat-umat sebelumnya. Akhirnya, Allah SWT mengabulkan permintaan tersebut dengan menurunkan Lailatulqadar.

Menurut Syeikh Muhammad Abduh, sebab kenapa malam tersebut diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah kerana ia adalah ketentuan Allah SWT. Pada malam tersebut, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintah nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang benar. Agama yang dapat melepaskan manusia daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Imam Nawawi pula berhujah, sebahagian ulama memberikan pandangan bahawa malam itu datangnya secara bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya, jika pada tahun ini berlaku pada 29 Ramadan, maka pada tahun akan datang ia akan datang pada malam yang berbeza.

Pendapat tersebut turut diterima oleh Ibn Hazam dengan menjelaskan malam itu adakalanya berlaku pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan, ia berlaku dalam posisi kiraan ganjil.

Ada juga ulama membuat kesimpulan setiap tahun Lailatulqadar berlaku pada tarikh yang sama, iaitu pada tanggal 27 Ramadan. Pendapat tersebut bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud: Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatulqadar itu pada malam 27.

Menurut Ibnu Abbas, kerana surah al-Qadr mengandungi 30 kalimah dan kata salamun hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah ke-27, maka malam tersebut adalah malam ke-27.

Ulama yang lain berpendapat, kalimah Lailatulqadar terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr, kalimat tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali, maka tentunya ia akan berlaku pada malam ke-27, iaitu sembilan didarabkan dengan tiga.

Ada ulama menetapkan malam tersebut akan berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Pendapat ini dikemukakan oleh Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. dan seterusnya diriwayatkan oleh Imam Bukhari: "Carilah sedaya upaya kamu Lailatulqadar itu pada 10 malam ganjil pada akhir Ramadan."

Pendapat para U'bbad menyatakan ia mengikut hari permulaan awal Ramadan, bila awal puasa pada hari Ahad atau Rabu maka, malam Lailatulqadar ialah pada malam 29 Ramadan.

Bila awal puasa pada hari Jumaat atau Selasa, maka malam Lailatulqadar ialah pada malam 27 Ramadan. Bila awal puasa pada hari Khamis, malam Lailatulqadar pada malam 25 Ramadan.

Jika awal puasa pada hari Sabtu, malam Lailatulqadar ialah malam 23 Ramadan dan jika awal puasa pada hari Isnin maka, malam Lailatulqadar pada malam 21 Ramadan.

Menurut Syeikh Abu Hassan, beliau tidak pernah luput dari malam Lailatul Qadar mengikut kaedah ini.

Pengalaman mendapatkan Lailatulqadr adalah sebuah pengalaman spiritual yang paling puncak bagi orang yang bersungguh-sungguh berusaha menyempurnakan keimanannya. Maka, setiap orang Islam perlu melakukan ibadah dan ibadat dengan bersungguh-sungguh sepanjang kehidupannnya bagi mendapat keberkatan. Kemanisan keimanan akan menjadi berlipat ganda sekiranya manusia itu mampu meraih malam Lailatulqadar.

Dalam masyarakat Melayu, malam Lailatulqadar turut dikenali sebagai malam tujuh likur. Meskipun ada banyak cerita yang berkisar dalam masyarakat Melayu mengenai malam tersebut, sebahagian besarnya adalah cerita yang tidak bersandarkan petunjuk yang jelas.

Malah pada malam tersebut turut diceritakan banyak keganjilan berlaku - air berhenti mengalir, pokok sujud menyembah bumi atau malaikat turun ke bumi dalam bentuk manusia - kerana tidak semua manusia boleh menemuinya dalam bentuk nyata.

Imam Thabari menjelaskan untuk menemui malam itu, tidak disyaratkan dengan melihat sesuatu atau mendengarnya. Maka amalan sesetengah orang Melayu menunggu air paip menjadi beku pada malam tersebut perlu digantikan dengan memperbanyakkan amal ibadat yang lebih berfaedah.

Jika kita ingin mendapatkan Lailatulqadar, kita seharusnya dapat melakukan 'kiam' Ramadan. Sepanjang bulan tersebut kita hidupkan suasana ingin belajar (taklim) sepanjang masa, siang dan malam dengan beribadah, zikir, solat sunat dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran.

Seluruh indera kita dipusatkan kepada pintu keampunan bagi melenyapkan diri kita daripada dosa dan dinyahkan syak wasangka.

Sepanjang bulan Ramadan, sebenarnya bulan kita bermuhasabah dan membersihkan diri daripada segala kekotoran malah ada yang mentafsirkan bulan kesembilan itu sebagai bulan penuh kebajikan.

Lailatulqadar yang kita impikan itu adalah sebuah titik yang perlu kita cari, kerana pencarian itu membawa kita kepada kemuncak kehidupan, agar amal dan ibadah kita akan diterima oleh Allah SWT, kita akan dimasukkan sebagai senarai orang yang beriman dan beramal soleh.
Baca selanjutnya...

Wednesday, August 3, 2011

Diet ketika berpuasa

`SYURGA makanan’. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan.

Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, “cukup tak makanan kita hari ni?”. Ada pula yang berkata, “tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk.”

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan.

“Puasa dapat membantu individu untuk mengawal pemakanannya. Ia dapat membantu dalam pengawalan berat badan di samping melatih individu untuk lebih berdisiplin pada makanan. Pemilihan makanan semasa bersahur dan berbuka penting kerana ia akan memberikan kesan terhadap peningkatan atau penurunan berat badan. Pengambilan makanan yang manis, berlemak atau bergoreng boleh menyebabkan peningkatan berat badan,” ujar Pakar Diet Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che ‘ Lah.

Untuk bersahur, disarankan mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan termasuklah makanan yang mengandungi fiber .

Ini kerana makanan ini dapat bertahan selama lebih kurang lapan jam dan ini dapat mengurangkan rasa lapar selepas bersahur sehingga waktu berbuka.

“Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks). Makanan yang mengandungi serat (juga dapat bertahan agak lama) adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat dihadam dapat bertahan 4 jam sahaja. Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin,” tambahnya.

Menurut Nor Lizawati, pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Justeru itu, kurangkan mengambil makanan yang tinggi kandungan garam atau masin kerana ini boleh mengakibatkan rasa dahaga pada siang hari.

Misalnya untuk berbuka, orang ramai dinasihatkan untuk mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

“Puasa boleh melatih individu lebih berdisiplin pada makanan. Untuk mereka yang cuba mengurangkan berat badan, jangan abaikan keperluan nutrien oleh badan kerana ini boleh menyumbang kepada risiko untuk mendapat masalah kesihatan dan badan akan cepat lesu. Ini akan memberikan kesan kepada aktiviti seharian. Jangan terlalu obses untuk menurunkan berat badan tetapi kesihatan diabaikan. Amalkan diet yang seimbang,” nasihatnya.

Baca selanjutnya...

Rasulullah SAW Jadi Contoh

APABILA menyedari bahaya besar menanti di hadapan, keenam-enam sahabat yang mengikuti misi dakwah yang diketuai oleh Ashim bin Tsabit tidak mempunyai pilihan lain kecuali terpaksa berhadapan dengan pihak musuh yang mengepung mereka.

Untuk menyerah semata-mata bagi menyelamatkan diri tidak sekali-kali. Mereka nekad untuk melawan.

Apabila melihat pengikut-pengikut Rasulullah SAW itu seperti berdegil, tidak mahu menyerah diri, lalu mereka dipujuk oleh pihak musuh dan diberikan tawaran yang menarik.

"Kami tidak akan membunuh kamu. Kami akan menghantar kamu kembali ke Mekah, tempat asal kamu dahulu, kepada kaum keluarga kamu sendiri," kata pihak musuh.

Di sebalik tawaran itu, keenam-enam sahabat tersebut sedar bahawa kembali ke Mekah bermaksud menjadi tawanan kepada pihak Quraisy. Tentu sekali ia satu penghinaan yang sangat besar.

Lalu mereka menolak bulat-bulat tawaran berkenaan malah bersedia untuk bertempur bagi mempertahankan maruah dan kepentingan Islam.

Maka berlakulah satu pertempuran berat sebelah yang kita sudah boleh jangka apakah kesudahannya.

Dengan bilangan mereka yang kecil, hanya enam orang, tentu pihak Islam tidak dapat mengalah musuh yang jumlahnya berpuluh kali ganda lebih ramai itu.

Namun, yang penting mereka tetap memberikan tentangan hebat dan sengit walaupun akhirnya tiga daripadanya terkorban termasuk ketua misi, Ashim Tsabit.

Dua sahabat lagi yang terkorban, Khalid bin Bukair dan Martsad bin Abi Martsad.

Tiga sahabat lagi iaitu Khubaib bin Adi, Abdullah bin Thariq dan Zaid bin Datsinah ditangkap dan diikat tangan mereka.

Mereka ditawan dan dibawa pulang ke Mekah dengan kawalan yang sangat ketat.

Di Mekah mereka akan dijual sebagai hamba abdi kepada pembesar-pembesar Quraisy.

Namun di pertengahan jalan, Abdullah berjaya melepaskan ikatan yang mengikat tangannya lalu merampas senjata pihak musuh yang mengawalnya lalu dibunuhnya.

Abdullah tidak berpeluang untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang lain kerana mahu segera memberitahu Rasulullah SAW akan peristiwa buruk yang menimpa mereka.

Namun, malang bagi Abdullah apabila beliau berjaya dikejar lalu dilempar batu bertubi-tubi menyebabkan beliau terkorban juga akhirnya.

Kini tinggal Zaid dan Khubaib yang dibawa ke Mekah. Sebaik sahaja sampai di sana, kedua-dua pemuda itu terus dibeli.

Zaid dibeli oleh Shafwan bin Umayyah manakala Khubaib dibeli oleh Al Harits bin Amir bin Naufal.

Namun pemuda-pemuda itu bakal dibunuh atas dasar membalas dendam yang melibatkan ahli keluarga pembesar-pembesar Quraisy yang mati dalam Perang Badar dahulu.

Shafwan ingin membunuh Zaid bagi menuntut bela atas kematian bapanya, Umayyah bin Khalaf yang terbunuh di medan Badar.

Manakala Khubaib bakal menjadi mangsa balas dendam atas kematian anak Al Harits sendiri, iaitu Uqbah.

Dari aspek keimanan, kedua-dua sahabat itu, Zaid dan Khubaib sangat luar biasa.

Walaupun nyawa menjadi taruhan ia sedikitpun tidak menjejaskan pegangan mereka terhadap Islam.

Segala tawaran supaya berpaling tadah tidak sedikit pun menggoyahkan keimanan mereka walaupun kampung halaman sudah berada di hadapan mata.

Oleh kerana mereka berdegil dan tidak akan mahu berpaling tadah, akhirnya tiada pilihan lain kecuali mereka dibunuh sebagai cara untuk membalas dendam.

Shafwan sendiri memerintahkan seorang hambanya, iaitu Nasthas supaya menamatkan riwayat Zaid.

Namun saat Zaid hendak dibunuh, tiba-tiba muncul Abu Suffian bin Harb, pembesar Quraisy yang tidak asing lagi cuba membuat tawaran terakhir kepada pengikut Rasulullah yang berjaya ditawan itu.

Abu Suffian menawarkan keampunan dan kebebasan kepada Zaid dengan syarat Zaid meninggalkan kepercayaannya terhadap Islam dan kembali kepada menyembah berhala, agama nenek moyang mereka.

Disangkanya Zaid akan menerima dengan mudah tawaran pengampunan itu lalu Abu Suffian pun berkata lagi: "Aku mahu bertanya kepada kamu wahai Zaid, apakah sekarang ini kamu suka sekiranya sahabat kamu Muhammad (Nabi) dijadikan pengganti diri kamu bagi dipotong lehernya?

"Sesudah itu tentu sahaja kamu boleh kembali kepada keluarga kamu dan bersenang-senang dengan mereka di rumah sebagaimana yang pernah kamu nikmati dahulu."

Tetapi tawaran itu tidak mampu untuk mengubah pendirian Zaid.

"Demi Allah, aku tidak sekali-kali reda sekiranya Nabi Muhammad disakiti walaupun dengan satu tusukan duri ke badannya! Sedangkan aku berada bersama-sama ahli keluargaku sambil bersenang-senang. Tidak sekali-kali," tegas Zaid

Zaid lebih rela dirinya dibunuh oleh pihak musuh daripada hidup dan kembali kepada keluarganya dengan menjadikan Nabi Muhammad sebagai galang gantinya.

Abu Suffian terkejut dengan ketegasan Zaid yang teguh mempertahankan prinsip dan sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri semata-mata kerana Islam.

Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya Abu Suffian pun berkata: "Aku belum pernah melihat seseorang itu mencintai sahabatnya, sebagaimana para sahabat Muhammad mencintai dia."

Atas keimanan yang tiada tolok bandingnya, akhirnya Zaid dibunuh dan tentunya sahaja kematiannya adalah syahid, semulia-mulia kematian!

Begitulah ujian getir yang terpaksa dibayar dengan begitu mahal termasuk dengan nyawa oleh para pejuang Islam.

Keteguhan dan kekuatan iman yang dimiliki oleh pengikut Islam itu sememangnya menghairankan pihak musuh.

Sebagaimana Rasulullah SAW sendiri sebelum ini, yang tidak termakan dengan pelbagai usaha dan pujuk termasuk tawaran pelbagai habuan yang lumayan daripada harta kekayaan kepada jawatan ketua pembesar Mekah akan diberi jika baginda sedia meninggalkan Islam, begitu juga pengikut-pengikut baginda.

"Meskipun mereka berjaya meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku, agar aku meninggalkan seruanku. Sungguh, sampai mati pun tidak akan kutinggalkan," tegas Rasulullah SAW.

Jika baginda sendiri pernah diuji keimanannya dengan segala macam tawaran yang seperti itu dan ditolaknya mentah-mentah, apatah lagi para sahabat.

Baginda telah memberikan contoh yang sangat baik untuk mereka contohi dan tidak sekali-kali mereka akan tergoda dengan apa juga tawaran yang menjadi umpan.

Baca selanjutnya...

Berbuka puasa bersama Red Warriors


PENGKALAN CHEPA, 3 Ogos: Peminat pasukan The Red Warriors berpeluang berbuka puasa bersama skuad tersebut di Perdana Resort sempena majlis amal 5 Ramadan ini.

Program tersebut yang ditaja Happy Prepaid, Tourism Kelantan dan KB Excel akan meraikan anak-anak yatim Taman Sabariah bersama peminat bola sepak Kelantan.

Penjaga Gol Kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dijangka memeriahkan program berkenaan bersama anak-anak yatim dan peminat.

Pegawai Perhubungan Awam Perdana Resort, Norhasnida Ahmed berkata, proram itu bermula jam 5.00 petang menawarkan peminat The Red Warriors buffet berbuka puasa sebanyak RM43 untuk dewasa dan RM20 (kanak-kanak).

Katanya, pelanggan kelapan dari satu keluarga tidak dikenakan bayaran sebagai menghargai sokongan mereka.

“Selain itu pada 16 Ogos ini kami akan mengadakan program masakan beramai-ramai untuk diagihkan kepada masyarakat kampung yang tinggal di sekitar Perdana Resort,” katanya di sini.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan melalui talian 09-774 4000.

Baca selanjutnya...

Tuesday, August 2, 2011

Hanya al-Quran dokumen yang ditadarus setiap tahun

KOTA BHARU, 2 Ogos: Al-Quran menjadi dokumen paling istimewa di dunia ini apabila kitab suci Islam ini ditadarus setiap tahun.

(Saudara Muhammad Ghana, mewakili komuniti antarabangsa menerima tugasan tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Kota Bharu)

“Tidak ada dokumen lain dilakukan seperti ini,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jika dibanding dengan agama-agama lain kata beliau, tidak ada yang melakukan upacara tahunan dengan meminta semua pengikut membaca keseluruhan kandungannya dalam masa satu bulan.Buku-buku dan dokumen-dokumen lain yang dianggap bermutu tinggi dan mulia pun tidak diulangi bacaannya sebagaimana al-Quran ditadarus.

“Di sepanjang sejarah manusia menyanjung pelbagai dokumen seperti deklarasi hak asasi dan perlembagaan negara-negara.

“Tapi kita tak pernah dengar dokumen-dokumen ini dibaca semula secara menyeluruh seperti tadarus,” kata beliau di majlis perasmian Tadarus Perdana Anak Muda Tamu Ramadan di Qaryah Ramadan di sini Isnin..

Al-Quran lahirkan generasi pemimpin dunia

Sementara itu, membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran adalah teras kepada pembentukan generasi pertama Islam yang menjadikan mereka pemimpin dunia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

“Mereka bangkit dari satu tahap kehidupan yang amat rendah kepada satu pasukan yang memiliki keupayaan luarbiasa untuk mengurus dunia global apabila mereka hidup bersama al-Quran”, kata beliau yang juga Exco kerajaan Kelantan.

Kerana itu beliau menyeru anak-anak muda untuk mengambil kesempatan di sepanjang Ramadan untuk merapatkan “persahabatan” dengan al-Quran.

“Kitab agung ini (al-Quran) akan menjadikan martabat seseorang akan terus meningkat jika mendekatinya,” ujar beliau.

Jika sesiapa yang boleh membaca al-Quran dengan baik sahaja sudah dianggap begitu mulia, beliau menambah tentulah mereka yang memahami isinya, mengajar orang lain dan beramal dengan ajarannya akan bertambah-tambah tingkat keupayaan mereka.

Husam berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian program tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Isnin.

Tadarus anjuran kerajaan negeri itu dijangka akan disertai lebih 10 ribu peserta yang terdiri dari kalangan belia dan remaja.

Lokasi-lokasi program ini diadakan di seluruh negeri bertempat di masjid, pondok, sekolah kelolaan YIK, sekolah agama swasta dan beberapa agensi terpilih.

Kemuncak program ialah majlis khatam yang akan menghimpunkan semua peserta tadarus pada penghujung Ramadan.

“Pihak kerajaan yakin anak-anak muda Kelantan yang telah dididik untuk sentiasa bersama al-Quran tidak akan melepaskan peluang keemasan ini bagi menambahkan keupayaan masing-masing,” kata Husam.

Berserta program ini kata beliau pellbagai acara iringan akan diadakan bagi membolehkan para peserta dan orang ramai merasa al-Quran boleh didekati dengan pelbagai cara dan satu bahan yang boleh diguna dalam menghadapi pelbagai situasi.

Baca selanjutnya...