Monday, July 2, 2012

Hatiku Menangis..

Assalamulaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. dan para sabahat Baginda yang telah menyebarkan syiar Islam kepada kita umat Islam.

Sedang aku leka sambil lena menyiapkan tugasan saat akhir yang akan diposkan ke maktab pada esok hari, fikiranku beralih kepada seorang murid di sekolah yang aku jumpa petang tadi. Murid tahun dua, berperwatakan biasa, berada di kelas kedua dan seorang lelaki. 

Aku bertugas di sekolah pada minggu ini pada sidang petang walaupun aku masuk sekolah pada separuh waktu pagi dan separuh waktu petang. Sewaktu sedang membahagikan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid-murid tahun satu, dua dan tiga, aku memantau murid-murid dengan niat tidak mahu mereka yang tidak mendapat RMT mengambil makanan sebelum murid-murid yang layak mendapat RMT mengambil makanan terlebih dahulu. Selesai membahagikan makanan dengan menu hari ini (Isnin) ialah nasi lemak, ikan bilis, telur, jambu batu dan air milo aku terus menuju ke bilik guru untuk meletakkan buku di meja. 

Setelah itu aku kembali ke dewan untuk memantau murid-murid menjamu selera. Aku melihat seorang murid tahun dua sedang membuka bekas makanan yang diletakkan di dalam bakul dan mula memakan sisa nasi yang tidak habis dimakan oleh rakan-rakan mereka yang mendapat RMT. Bergenang airmata melihat kelakuan muridku ini. Murid itu perasan aku melihatnya dan dia terus menutup bekas makanan itu. Mungkin dia takut aku marah kepadanya. Tapi aku yang masih serba salah dengan perlakuan muridku ini lantas pergi dekat dengannya dan aku berkata "Kenapa makan di bawah, ambil makan di atas meja". Di saat itu jugalah aku mengambil bekas makanan itu dan meletakkan di atas meja. Aku memberitahu muridku bahawa jangan takut untuk makan kerana aku tidak akan marah. Malah aku berterima kasih kepadanya kerana tidak membazir. Sewaktu aku sedang berbual-bual dengannya, dia tidak mengendahkan apa yang ditanya olehku. Kelihatan di raut wajahnya itu dia kelaparan yang teramat sangat. Lebih pilu hatiku melihat wajahnya itu. Terasa juga marah kepada murid-murid yang mendapat RMT namun tidak menghabiskan makanan yang diberikan secara percuma.

Minggu lepas aku sempat berbual-bual dengan seorang pelajar perempuan tahun satu. Berperwatakan ceria, selalu tersenyum dan mesra. Sepupunya mendapat RMT namun dia tidak mendapat RMT kerana masuk ke sekolah lewat iaitu bulan Mac lepas. Dua sepupu ini tinggal serumah. Setiap hari rutin mereka berdua adalah muridku yang mendapat RMT mengambil makanan dan vitamin kemudian pergi kepada sepupunya yang tidak mendapat RMT. Dia menghisap sekejap vitamin itu kemudian mengeluarkan dari mulutnya dan memberikan kepada sepupunya itu. Begitu juga makanan RMT, dia makan separuh kemudian memberikan kepada sepupunya makanan separuh lagi. Murid tahun satu pun pandai berkongsi makanan. Saling memahami kesusahan masing-masing. Aku begitu terharu dengan mereka. Aku bertanya kepada muridku ini yang tidak mendapat RMT, kenapa tidak makan, sambil tersenyum tiada duit jawapannya. Kenapa tidak bawa bekal dari rumah, lalu dijawabnya beras sudah habis di rumah. Ku bertanya lagi habis tu makan apa di rumah, dijawabnya dengan senyum terukir di bibirnya kadang-kadang makan nasi lauk ikan, kadang-kadang lauk sosej kadang-kadang makan megi..Sedih mendengar jawapan muridku ini. 

Hanya beberapa murid yang aku kenali dan ketahui kesusahan dan kedaifan hidup mereka. Masih ramai lagi yang ingin aku dampingi untuk mengenali kehidupan sebenar warga sekolahku ini.

14 Februari 2012 aku mula ke sekolah tersebut, sekarang hampir lima bulan berada di sana dan menjadi warga sekolah berkenaan. Sekolah kampung yang aku sedang berkhidmat ini memberikan satu kehidupan yang amat berlainan berbanding di Semenanjung selama 26 tahun yang lalu. Walaupun aku juga daripada keluarga kampung, namun keperitan yang dialami oleh murid-murid di sini lebih teruk berbanding denganku dahulu. Sedih mengenangkan mereka. Wang ringgit masih belum mampu aku bantu murid-murid ini, namun aku cuba membantu sekadar termampu.

TELAH LAMA NEGARA KITA MERDEKA, NAMUN KENAPAKAH RAKYAT  SEPERTI DIANAKTIRIKAN. NEGERI SABAH KAYA DENGAN HASIL BUMI YANG BANYAK NAMUN KENAPAKAH MASYARAKAT DI SABAH HIDUP SEPERTI SEBELUM MERDEKA.. SIAPAKAH YANG BERSALAH??

Baca selanjutnya...